Saturday, April 11, 2009

Persidangan Bersejarah

Pada 3 Mac lalu, berlaku persidangan yang mencatat sejarah kerana terpaksa diadakan di bawah pokok, berhadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat dihalang oleh polis dari memasuki bangunan itu demi melunaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Persidangan umpama ini adalah yang pertama bagi mana-mana kerajaan di dunia.

Persidangan yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Perak V Sivakumar, tidak seharusnya dipolitikkan oleh BN kerana dari sudut perundangan yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak membuktikan wujud keperluan berbuat demikian kerana mereka telah dihalang memasuki Dewan Undangan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak.

Antara usul yang diutarakan oleh Adun Teja Chang Lih Kang, ialah:

1) Undi percaya terhadap Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
2) Memohon pembubaran Dun
3) Mengutuk penglibatan campurtangan BN yang memperkudakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan FRU, yang diketuai oleh OCPD Ipoh Azisman Alias untuk menyekat Dun dari bersidang.

Penulis bersependapat seperti Dato' Seri Nizar, yakin bahawa sultan akan mengambil kira harapan dan rayuan rakyat yang mahukan supaya Dun dibubarkan. Setakat ini tinjauan dan pandangan pakar-pakar kesemuanya bersependapat dan bersetuju bahawa jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis politik Perak ialah melalui pembubaran Dun, dan membolehkan pilihanraya baru diadakan.

Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim yang melarang Speaker Dewan Perak, V Sivakumar mengadakan sebarang sidang Dun harus dikaji kerana ianya bertentangan dengan doktrin prinsip pengasingan kuasa.

Pandangan ini turut dipersetujui oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari. Ianya jelas telah melampaui bidang kuasanya di sisi undang-undang. Malah, kedudukan Ridhwan harus dipersoalkan kerana dikatakan bahawa kontrak jawatan beliau telah tamat ketika mengendalikan kes berkenaan. Pengerusi DAP, Karpal Singh turut menyatakan bahawa berdasarkan perundangan, Ridhwan boleh dihadapkan ke Dun Perak untuk diadili kerana bersalah dengan niat menghina Dewan Undangan Negeri.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Dato' Ambiga Sreenivasan turut menegaskan kekebalan Speaker Dun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh mencabarnya kecuali Perlembagaan Persekutuan itu dipinda dan dipersetujui oleh 2/3 ahli Parlimen.

Dato' Param Coomaraswamy, bekas Presiden Majlis Peguam yang juga pernah berkhidmat sebagai Jurulapor Sekretariat Kebebasan Kehakiman Bangsa-bangsa Bersatu turut berpendapat mahkamah tidak harus campur tangan dalam soal ini dan seharusnya penyelesaian krisis politik Perak ini dikembalikan kepada rakyat untuk pembubaran Dun.

-disiarkan kembali selepas disekat oleh SKMM-

No comments: